Tuesday, March 18, 2008

Kuliah 10 Parabahasa

PARABAHASA


Persidangan Antarabangsa Linguistik Melayu, Kuala Lumpur, 11 - 13 Ogos 1992.

Komunikasi berlaku melalui tuturan dan tulisan. Ini menyebabkan kita selalu menganggap bahawa cara utama maklumat dikomunikasikan daripada seseorang kepada seseorang ialah melalui perkataan. Malah ada yang menganggap bahawa perkataan itulah cara utama maklumat dikomunikasikan. Sebenarnya, perkataan sangat sedikit membawa maklumat. Lebih banyak maklumat dibawa oleh rupa roman, intonasi, manipulasi suara, sentuhan, gerak-geri badan dan sebagainya.

Kertas ini memperkenalkan bidang parabahasa (paralinguistik). Parabahasa ialah kajian terhadap bunyi sampingan, gerak geri dan manipulasi suara dan unsur bahasa yang menyertai bunyi-bunyi bahasa dalam tuturan. Parabahasa bukanlah kajian bunyi suprasegmental dari segi fonologi. Parabahasa mengkaji fungsi dinamik bunyi-bunyi dan unsur-unsur sampingan tersebut dalam membawa makna dan maksud tertentu dalam tuturan. Misalnya, untuk menunjukkan sikap, taraf dan peranan sosial, atau makna khusus, suara penutur boleh digaraukan, atau anggota tubuh atau otot-otot muka boleh digerakkan. Cara bertutur, bahan pertuturan, serta unsur nahu boleh dimanipulasi. Setiap sesuatu unsur ini membawa pengertian tertentu. Inilah bidang kajian parabahasa.

Kertas ini tidak memisahkan parabahasa daripada bahasa badan atau kinesiks. Oleh itu tajuk-tajuk berikut akan membincangkan fungsi setiap unsur yang disebut di atas dalam uasaha melihat taraf sosial, sikap dan kuasa penutur-penutur yang terlibat.

1. Cara Panggilan

Cara panggilan boleh berfungsi sebagai penanda status serta penanda keakraban. Dari sudut keakraban, kerapatan hubungan antara dua orang ditandai oleh penggunaan panggilan tidak rasmi seperti nama peribadi atau nama jolokan. Keakraban juga ditandai oleh penggunaan kata ganti nama tidak rasmi seperti engkau, aku, atau hang. Jarak keakraban sebaliknya ditandai oleh penggunaan cara-cara panggilan yang rasmi atau “sopan” seperti tuan, encik,

saudara, anda atau gelaran hormat seperti Yang Berhormat, Datuk, Tan Sri atau lain-lain lagi.

Status pula ditandai oleh penggunaan panggilan yang satu hala sahaja, iaitu orang yang berstatus rendah, menggunakan panggilan hormat atau kata ganti nama rasmi, manakala orang yang berstatus tinggi menggunakan kata ganti nama tidak rasmi atau nama peribadi. Kata ganti nama tidak rasmi seperti itu juga digunakan untuk bercakap dengan kanak-kanak, orang gaji malah binatang juga. Orang yang berstatus tinggi boleh menggunakan panggilan dan kata ganti nama tidak rasmi kepada orang yang berstatus rendah, tetapi tidak sebaliknya.

2. Stail Percakapan

Stail percakapan orang yang berstatus rendah mengandungi banyak unsur-unsur keraguan diri, frasa penjelas, dan perendahan diri. Sebagai contoh, “Saya bukanlah pakar bidang ini, dan barangkali lebih baik kalau saya tidak terlibat di dalam perbincangan ini, tetapi pada pendapat saya, jawapannya boleh dicari pada ...”

Perkataan-perkataan yang berbelit-belit itu mempunyai beberapa fungsi, iaitu a) sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada dikritik, b) untuk memberi tempoh berfikir dan peluang menarik balik apa yang diucapkannya apabila perlu, dan c) untuk menunjukkan kehebatan diri dengan menggunakan bahasa yang panjang-panjang.

Namun, apa yang jelas ialah dengan menggunakan stail percakapan seperti itu si penutur sebenarnya mendedahkan diri sebagai anggota golongan yang tiada daya upaya, dan keterpaksaan diri untuk menerima hakikat bahawa dia berstatus rendah dan oleh itu wajib mengemukakan apa-apa pendapat dengan sangat berhati-hati, kerana bimbang mereka akan diperingatkan bahawa mereka tiada hak mutlak untuk bersuara.

Kecenderungan untuk teragak-agak apabila bercakap, meminta maaf dan merendah-rendahkan apa yang percakapan sendiri, kesemua nya ciri stail percakapan orang yang berstat s rendah, yang

secara kebetulan juga merupakan ciri-ciri stail percakapan wanita.

3. Topik Perbualan

Menentukan topik perbualan dan arah perkembangan perbualan adalah hak istimewa golongan yang berstatus tinggi dan berkuasa. Di dalam perbualan antara lelaki dan perempuan lelaki lebih berkuasa menentukan topik perbualan dan arah perkembangannya. Oleh kerana lelaki lebih kerap mencelah-celah berbanding dengan perempuan mereka berkuasa menentukan topik dan perkembangan perbualan.

Zimmerman dan West mendapati stail percakapan lelaki kepada perempuan membunuh perkembangan topik yang dikemukakan oleh perempuan. Empat jenis respons lelaki kepada percakapan perempuan ialah a) mencelah b) mengulang semula c) respons minimum seperti hm ... hm ... dan d) lambat memberi respons.

Keempat-empat respons itu merupakan tindak balas negatif yang membunuh perkembangan topik perbualan.

4. Pola Perbualan

Kajian ke atas pola perbualan dalam kumpulan menunjukkan lelaki lebih kerap bercakap daripada perempuan. Lelaki juga bercakap dengan lebih panjang lebar daripada perempuan. Didapati juga lelaki lebih kerap mencelah percakapan orang lain, sama ada lelaki atau wanita, dibandingkan dengan perempuan. Pola ini belaku di dalam semua peristiwa perbualan: sama ada antara dua orang, ramai orang, satu jantina, campuran jantina, dan dalam semua peringkat jawatan dan kerjaya.

Bernard mendapati di dalam kalangan ahli panel perbincangan di televisyen, lelaki lebih kerap bercakap daripada perempuan. Malah didapati perempuan sukar mendapat peluang bercakap kerana kerap dicelah oleh lelaki. Perempuan pula tidak banyak mahu mencelah lelaki bercakap. Zimmerman dan West mendapat sembilan puluh enam peratus celahan dan seratus peratus pertindanan dibuat oleh lelaki.

5. Kesenyapan

Status bukan hanya ditandai oleh perkataan yang digunakan. Status juga ditandai oleh manipulasi kesenyapan. Di sini, pada saat seseorang perlu bercakap, dia sengaja memilih untuk membisu. Orang yang berstatus tinggi boleh memilih untuk diam, tetapi tidak sebaliknya. Orang yang berstatus rendah boleh dipaksa supaya bercakap, iaitu menjawab bila ditanya, tetapi tidak sebaliknya. Bagi orang yang berstatus rendah, kedudukannya seperti timun dengan durian. Sama ada dia dipaksa bercakap, atau apabila percakapannya disambut dengan diam, dia tetap berasa terhina kerana kedua-duanya memperingatkan dia akan kedudukan statusnya yang rendah.

Kesenyapan adalah penanda a) ketidakterlibatan seseorang, sebagai contoh apabila seorang suami tidak menjawab pertanyaan isteri, atau b) si pendengar tidak bersetuju dengan apa yang dipercakapakan, c) cuba menutup ketidaksetujuan dan d) enggan memberitahu maklumat yang penting.

Apabila si pendengar diam, ini bererti dia tidak memberi tindak balas positif. Dia tidak menunjukkan minat sama sekali kepada penutur. Dari satu segi, perbuatan diam berfungsi seperti menyimbah air memadamkan api. Ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang berstatus tinggi kepada orang yang berstatus rendah.

6. Status Ayat

Lakoff menerangkan dua bentuk struktur ayat yang kerap terdapat pada bahasa yang digunakan oleh perempuan, dan kedua-dua struktur itu dikaitkan dengan sikap ketidakpastian. Bentuk pertanya ialah penggunaan soalan tag di hujung ayat, dan kedua, penggunaan struktur ayat permohonan. Contoh soalan tag ialah, “Ini cantik, kan?” Struktur ini menunjukkan si penanya mengelak daripada komitmen yang tidak berbelah bagi pada apa yang diucapkannya. Komitmen pernah tergambar pada ayat afirmatif dan soalan tepat. Contoh ayat afirmatif ialah “Inilah tempatnya.” Contoh soalan tepat ialah “Inikah tempatnya?”

Lelaki tidak cenderung menggunakan soalan tag. Lelaki juga tidak cenderung menggunakan ayat permohonan, sebaliknya mereka cenderung menggunakan ayat arahan. Untuk mendapatkan hajat yang serupa wanita cenderung menggunakan ayat permohonan. Adalah diduga lelaki lebih berkemungkinan mendapat apa yang mereka arah berbanding dengan perempuan yang memohon apa yang diingini.

7. Celahan

Perbuatan mencelah orang lain yang sedang bercakap adalah penanda status. Orang yang berstatus rendah tidak mencelah percakapan orang yang berstatus tinggi. Sebaik-baik orang berstatus tinggi bercakap, orang yang berstatus rendah hendaklah berhenti bercakap. Di dalam sekumpulan orang yang bercakap-cakap hierarki status dapat dikenal pasti dengan melihat siapa yang berjaya mencelah percakapan orang-orang lain, ataupun juga sebaliknya, iaitu berapa kali seseorang itu dicelah semasa dia sedang bercakap. Orang yang paling banyak berjaya mencelah ialah orang yang menduduki tempat tertinggi di dalam hierarki status kumpulan tersebut. Orang yang paling kerap dicelahi menduduki tempat terendah di dalam hierarki status.

Eakins dan Eikens melakukan kajian ke atas kekerapan seseorang mencelah berbanding dengan peluang mereka bercakap, yang menunjukkan wanita lebih kerapa dicelahi berbanding dengan lelaki. Mereka juga mendapati pola celahan di dalam kumpulan jantina yang sama adalah selaras dengan hierarki status di dalam kumpulan.

8. Suara

Penutur lelaki dan perempuan bercakap menggunakan darjah kelangsingan suara yang jauh berbeza. Sachs melaporkan perbezaan pada kelangsingan itu diperlihatkan sejak kanak-kanak lagi, iaitu sebelum suara remaja lelaki berubah berikutan perubahan puberti. Perbezaan yang sangat ketara itu adalah pengaruh peranan sosial yang mengkehendaki supaya perempuan dan lelaki membezakan suara mereka.

Tuntutan masyarakat supaya lelaki bercakap menggunakan kelangsingan rendah dan perempuan bercakap menggunakan kelangsingan tinggi adalah begitu kuat sehingga penyimpangan daripada pola itu mengakibatkan kesan serius terhadap tanggapan orang terhadap personaliti penutur yang terlibat. Lelaki yang bercakap dengan kelangsingan tinggi akan diejek dan dicemuh di belakangnya dan pendapat mereka tidak didengar dengan serius di dalam perbincangan.

Suatu hal yang menarik ialah para pembaca berita wanita membaca berita menggunakan kelangsingan rendah. Oleh kerana kelangsingan rendah dikaitkan dengan lelaki dan lelaki memiliki wibawa yang lebih tinggi di dalam masyarakat, maka apabila wanita menggunakan suara berkelangsingan rendah, suara itu memiliki wibawa yang lebih.

Lelaki juga bercakap dengan darjah kekuatan yang lebih tinggi daripada perempuan. Suara mereka dapat didengar pada jarak yang lebih jauh dan lebih bertenaga.

Perempuan memiliki kepelbagaian pola intonasi dan lebih banyak tingkat kontras berbanding dengan lelaki. Kepelbagaian intonasi dan kontras pada suara perempuan dikaitkan dengan pola intonasi yang tidak pasti, seperti manja, mengada-ada, tertanya-tanya dan serba tak berdaya, iaitu pola-pola yang menghakis wibawa pada suara seseorang. Kepelbagaian itu juga dikaitkan dengan pempameran emosi, dan di dalam masyarakat kita, perbuatan mempamerkan emosi dianggap ciri-ciri kelemahan peribadi kerana pempameran emosi adalah ciri golongan berstatus rendah.

9. Pendedahan Diri

Pendedahan diri ialah aspek kandungan berbeza yang mempunyai perkaitan dengan hierarki status. Seorang ketua pejabat boleh bertanya pada tukang kebun tentang khabar isteri dan anak-anaknya, tetapi perkara yang sama tidak boleh berlaku. Jourard melaporkan pendedahan diri banyak dilakukan kepada orang yang sama status. Pendedahan diri juga lebih cenderung dilakukan kepada orang yang berstatus lebih tinggi daripada kepada orang yang berstatus lebih rendah berbanding dengan si pendedah.

Cozby melaporkan pendedahan diri ialah salah satu aspek perbualan yang menunjukkan adanya perbezaan antara lelaki dan perempuan. Kajian-kajian oleh pihak lain juga melaporkan hal yang serupa. Adalah didapati perempuan mendedahkan lebih banyak maklumat peribadi daripada lelaki. Hal yang serupa juga didapati di kalangan orang-orang yang berstatus rendah. Mereka lebih banyak mendedahkan maklumat peribadi kepada orang-orang yang berstatus tinggi.

Maklumat peribadi termasuklah emosi, fikiran dan idea-idea. Perbuatan mendedahkan maklumat diri adalah satu aspek perilaku keintiman, iaitu perbuatan memperkongsikan diri dengan orang lain.

Pendedahkan diri oleh lelaki bersifat eksklusif, iaitu ia dilakukan kepada orang-orang tertentu sahaja.

10. Kontak Mata

Pelbagai kajian melaporkan, di dalam perbualan, perempuan lebih banyak melakukan kontak mata daripada lelaki, lebih-lebih lagi apabila perempuan bercakap sesama perempuan. Tempoh kontak mata mereka juga lebih panjang daripada lelaki.

Sewaktu bercakap, perempuan lebih banyak membuat kontak mata, begitu juga sewaktu mendengar, sewaktu diam, sama ada di dalam percakapan rasmi mahupun perbualan tidak rasmi.

Menurut Henley, kontak mata ialah ciri perilaku golongan yang memerlukan persetujuan pihak lain, iaitu perlaku orang-orang berstatus rendah. Dari satu sudut, gejala perempuan lebih banyak melakukan kontak mata mungkin ada perkaitan dengan kenyataan bahawa perempuan lebih banyak melakukan kegiatan mendengar, berbanding dengan lelaki yang lebih banyak melakukan kegiatan bercakap. Adalah didapati, baik di kalangan lelaki mahupun perempuan, kontak mata lebih banyak dilakukan di dalam kegiatan mendengar daripada di dalam kegiatan bercakap.

Meskipun perempuan lebih banyak membuat kontak mata, perempuan juga lebih banyak melarikan pandangan apabila bertembung mata. Walaupun perempuan lebih banyak memandang orang lain, mereka juga lebih banyak melarikan pandangan apabila ditenung. Lelaki pula didapati lebih banyak membuat tenungan, berbanding dengan perempuan. Perbuatan menenung dan melarikan mata adalah selaras dengan hierarki status. Orang yang berstatus tinggi membuat lebih banyak tenungan kepada orang yang berstatus rendah.

Orang yang berstatus tinggi boleh memilih untuk memandang atau tidak memandang orang yang berstatus rendah sewaktu bercakap mahupun waktu mendengar.

Kajian Henley melaporkan orang yang berstatus rendah lebih banyak memandang pada orang yang berstatus tinggi, daripada sebaliknya.

Beliau mendapati orang lebih banyak memandang sewaktu mereka mendengar daripada sewaktu mereka bercakap. Orang yang berstatus rendah lebih banyak memandang apabila mendengar orang yang berstatus tinggi bercakap kepadanya, dan mereka kurang memandang apabila bercakap. Namun, beliau mendapati orang yang berstatus, tinggi tidak memandang lebih atau kurang sama ada waktu mendengar atau bercakap kepada orang yang berstatus rendah.

11. Tawa

Tawa ialah unsur parabahasa yang memiliki ciri-ciri sosial dan politik yang penting. Tawa juga menjadi penanda hierarki status di dalam kumpulan. Aspek-aspek yang penting pada tawa ialah a) siapa yang menghidangkan bahan tawa b) siapa yang menjadi mangsa tawa, dan c) siapa yang ketawa.

Coser membuat kajian ke atas peristiwa tawa yang terjadi di dalam siri mesyuarat jabatan dalam tempoh beberapa bulan. Beliau mendapati pegawai atasan paling banyak menghidangkan bahan tawa, diikuti oleh pegawai pertengahan dan pegawai-pegawai rendah paling kurang menghidangkan bahan tawa. Lapan puluh enam peratus bahan tawa itu ditunjukkan pada mangsa, iaitu salah seorang anggota mesyuarat dan tidak seorang pun daripada mangsa bahan tawa itu yang kedudukannya lebih tinggi daripada kedudukan orang yang mengemukakan bahan tawa tersebut. Pegawai tinggi akan menjadikan pegawai yang lebih rendah bahan tawa. Pegawai-pegawai rendah pula menjadikan diri sendiri dan kakitangan bawahan sebagai bahan tawa.

Meskipun salah satu fungsi tawa ialah untuk menghilangkan rasa tegang, tetapi pola tawa menunjukkan ketegangan dihilangkan hala ke bawah, dan tidak ke atas. Dari satu segi struktur status ditandai oleh tawa ke bawah.

Coser juga mendapati sembilan puluh sembilan peratus bahan tawa dibuat oleh lelaki. Sebaliknya, beliau mendapati wanita kerap ketawa dengan lebih beria-ia terhadap bahan tawa dihidangkan oleh lelaki.

12. Jeda

Jeda ialah tempoh kesenyapan antara satu perkataan dengan perkataan yang mengikutinya. Menurut Ekman,jeda menunjukkan penutur berhati-hati dengan apa yang perlu diucapkannya. Sikap berhati-hati dengan apa yang perlu diucapkannya. Sikap berhati-hati menerbitkan dua jenis jeda. Pertama, jeda menjadi lebih panjang, dan kedua jumlah jeda bertambah banyak. Jeda juga boleh diiringi oleh bunyi-bunyi seperti “ah ...”, “mm ...”, ataupun

perulangan seperti, “Saya ... saya ..., maksud saya ...” atau “Katakanlah ... katakanlah ...” atau perkataan yang terpotong-potong seperti “Saya ti-tidak setuju”.

13. Penerang

Penerang ialah gerak-geri yang mengiringi pengucapan yang berfungsi untuk menerangkan apa yang sedang dipercakapkan. Alat penerang yang utama ialah tangan. Bahagian-bahagian tubuh badan yang lain juga boleh berfungsi sebagai penerang. Penerang digunakan untuk membantu menjelaskan perkara-perkara yang sukar diterangkan dengan menggunakan bahasa semata-mata.

Ekman melaporkan semakin seseorang terlibat dengan apa yang dipercakapkannya, semakin banyak beliau menggunakan penerang. Jumlah penerang akan berkurangan apabila keterlibatan menurun.

Ekman melaporkan pemerhatiannya tentang situasi yang menyebabkan seseorang mengurangkan jumlah penerang yang dilakukannya. Menurutnya, hal ini berlaku apabila penutur tidak meyakini apa yang dia sendiri percakapkan. Penerang juga berkurangan apabila penutur berasa bosan atau tidak berminat dengan topik perbualan. Kesedihan juga menyebabkan berkurangnya jumlah penerang. Demikian juga dengan rasa serba-salah tentang apa yang sedang dipercakapkan.

14. Salah Cakap

Di dalam perbualan, gejala salah cakap boleh muncul di dalam bentuk a) jawapan yang tidak tepat, b) jawapan yang berbelit-belit, c) jawapan yang memberi maklumat-maklumat yang tidak diminta dan d) hamburan kata-kata atau terlalu banyak bercakap. Menurut Ekman, gejala-gejala ini menunjukkan penutur menyembunyikan sesuatu ataupun memalsukan sesuatu.

Bibliografi

William M. Austin, “Some Social Aspects of paralanguage,” Canadian Journal of Linguistics, 1965.

Jessie Bernard, The Sex Game, New York: Atheneum, 1972.

R. Brown and A. Gilman, “The Pronouns of Power and Solidarity,” dalam T.A. Sebeok (ed.) Style in Language Cambridge Mass: Massachusetts Institute of Technology Press, 1960.

Rose Laub Coser, “Laughter Among Colleagues,” Psychiatry, 1960.

Paul C. Cozby, “Self-Disclosure: A Literature Review,” Psychological Bulletin, 1973.

Starkey Duncan, “Nonverbal Communication,” Psychological Bulletin, 1969.

Paul Ekman and Wallace V. Friesen, Unmasking The Face, Englewood Cliffs, N.J.: Prentice-Hall, 1975.

Paul Ekman, Telling Lies, New York: Berkley Books, 1986.

Barbara Eakins and Gene Eakins, “Verbal Turn-Taking and Exchanges in Faculty Dialogue,” kertas kerja Conference on The Sociology of The Languages of American Women, 1976.

Joshua A. Fishman, ed., Readings in Sociology of Language, The Hague: Mouton, 1968.

Nancy M. Henley, Body Politics: Power, Sex and Nonverbal Communication, New York: Simon & Schuster, Inc., 1977.

Argyle and Roger Ingham, “Gaze, Mutual Gaze, and Proximity,” Semiotica, 1972.

Sidney Jourard, The Transparent Self, Princeton, N.J.: Van Nostrand, 1964.

Robin Lakoff, “Language and Woman's Place, New York: Harper and Row, 1975.

Zick Rubin, “Measurement of Romantic Love,”.

Dan I. Slobin, Stephen H. Miller, and Lyman W. Porter, “Forms of Address and Social Relations in a Business Organization,” Journal of Personality and Social Psychology, 1968.

J. Sachs, “Cues To The Identification of Sex in Children Speech,” dalam Thorne and Henley, eds., Language and Sex.

D.H. Zimmerman & C. West, “Sex Roles, Interruptions and Silences in Conversation,” in Thorne & Henly, eds. Language and Sex.

No comments: